Penyakit hawar berdarah (HS)


Penyakit hawar berdarah (HS) merupakan penyakit septisemia akut pada lembu dan kerbau. Penyakit HS endemik di Malaysia yang menyebabkan kematian dalam tempoh 8 - 24 jam selepas dijangkiti. Penyakit ini telah berlaku di Afrika dan Asia di mana industri penternakannya kurang membangun termasuk Malaysia (De Alwis MCL, 1999). Kejadian penyakit HS telah dilaporkan di Malaysia seawal akhir tahun 1800 (Carrogean 1902). Kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia telah mengalami wabak HS yang teruk di kalangan ternakan lembu dan kerbau. Wabak HS berlaku pada tahun 1925, 1927 dan 1928 di Perak (Wallace 1929) dan hanya berlaku di kampung terjangkit sahaja. Penyakit ini sangat dinamik dan boleh berlaku di kawasan endemik dan bukan endemik. Menyedari kepentingannya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menggariskan beberapa strategi penting bagi mencegah dan mengawal penyakit HS. Pencegahan dan pengawalan penyakit HS memerlukan komitmen serta kesungguhan yang tinggi. 

Penyakit Hawar Berdarah (Haemorrhagic Septicaemia) atau HS ialah penyakit akut pasteurellosis yang disebabkan oleh bakteria Pasteurella multocida Carter’s Type B. Penyakit ini menyebabkan septisemia akut pada lembu dan kerbau, namun lebih mudah menjangkiti kerbau. Ternakan babi juga boleh dijangkiti HS pada kadar yang rendah, manakala jangkitan pada bebiri dan kambing adalah jarang dilaporkan. Penyakit HS telah diwartakan sebagai Penyakit Wajib Lapor. Penyakit HS endemik disebabkan oleh salah satu daripada dua serotip Pasteurella multocida, iaitu serotip B:2 dan E:2. Wabak penyakit di negara Malaysia adalah disebabkan oleh serotip B:2. Wabak penyakit boleh berlaku pada bila-bila masa, tetapi kekerapan penyakit meningkat pada musim hujan. Kebanyakan jangkitan HS adalah akut atau perakut, yang menyebabkan kematian dalam jangkamasa 8 - 24 jam selepas dijangkiti dan jarang ada haiwan yang sembuh daripada penyakit HS. Tanda awal klinikal yang dilihat ialah kelesuan, kemurungan, tidak aktif, demam, mulut dan hidung yang berlendir, bengkak pada bahagian kepala, leher dan dada serta membran mukosa menjadi merah. Jika masalah pernafasan berlaku, kematian dijangka akan berlaku dalam masa yang singkat. Walau bagaimanapun, disebabkan kematian berlaku pada jangka masa yang singkat, maka tanda klinikal selalunya tidak ketara atau tidak dapat dilihat. Tiada penyakit HS yang kronik dilaporkan.

DIAGNOSIS DAN PENGESAHAN PENYAKIT 

Diagnosis dan pengesahan penyakit HS adalah berdasarkan tanda-tanda klinikal, lesi post mortem dan kaedah pengasingan bakteria penyebab iaitu P. multocida daripada sampel darah (dari jantung) atau organ-organ lain ataupun sumsum tulang (kalau telah mengalami proses autolisis) serta pengenalpastian organisma menerusi ujian biokimia, serologi atau biologi molekular. 

  • Tanda-tanda klinikal 

Tanda-tanda yang ketara adalah haiwan mengalami kemurungan, bengkak di kepala, leher dan dada, mulut dan hidung yang berbuih, kongesi pada lapisan mukus membran, konjuntivitis serta sukar bernafas. 
  •  Lesi Post Mortem 

Lesi post mortem yang dilihat adalah edema dan hemoraj pada lapisan bawah kulit, kongesi yang teruk pada semua organ dalaman, bendalir bercampur darah dalam selaput perikardium, rongga toraks dan abdomen. Nodus limfa juga kelihatan bengkak dan hemoraj. Pneumonia selalunya tidak ketara. 
  • Bakteriologi 
Kultur tulen P. multocida boleh diperolehi melalui calitan sampel ke atas media dan diikuti dengan pengenalpastian ciri-ciri morfologikal seperti Gram negatif dwipolar basilus ataupun kokobasilus serta ujian biokimia. Pengesahan ke atas kultur boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah biologi molekular.

  •  Ujian Saringan 

Ujian saringan dijalankan ke atas gerompok ternakan yang pernah mengalami wabak HS. Sampel diambil secara rawak dari 30 ekor atau 10 % (di mana pilihan adalah berdasarkan yang paling banyak) daripada kumpulan ternakan. Sera tersebut diuji dengan ujian serologi. 
    • Keputusan negatif 

Selepas ujian saringan didapati negatif beserta tiada tanda-tanda klinikal, maka gerompok dibenarkan berpindah. 
    • Keputusan positif bagi ternakan divaksinasi 

      • i. Setiap gerompok yang didapati positif ujian saringan akan didaftarkan sebagai Indeks Disyaki Penyakit HS
      • ii. Ternakan yang disyaki terjangkit hendaklah diasingkan dan dipantau untuk sebarang tanda klinikal HS dalam masa sebulan. 
      • iii. Sekiranya tiada tanda klinikal dalam tempoh tersebut, ternakan dikategorikan bebas HS.
    • Keputusan positif bagi ternakan tanpa vaksinasi 
      • i. Setiap gerompok yang didapati positif ujian saringan akan didaftarkan sebagai Indeks Disyaki Penyakit HS
      • ii. Ujian pengesahan termasuk pemantauan tanda klinikal perlu dijalankan dalam masa sebulan. 
      • iii. Sekiranya positif, ternakan tidak dibenarkan berpindah, diasingkan dan rawatan diberikan. 
      • iv. Prosedur perlu diulang semula sehingga mendapat keputusan negatif bagi mendapatkan akuan kebenaran pindah.
Previous
Next Post »