KEPENTINGAN PENCEGAHAN PENYAKIT KUKU DAN MULUT (FMD) KEPADA INDUSTRI TERNAKAN RUMINAN

Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) sangat mudah menjangkiti lembu, kerbau, kambing, bebiri, babi, rusa dan lain-lain haiwan berkuku dua. Penyakit ini disebabkan oleh Apthovirus dari keluarga Picornaviridae. Virus ini terdiri daripada 7 serotip iaitu O, A, C, ASIA 1, South African Territory 1 (SAT 1), SAT 2 dan SAT 3. Vaksin untuk suatu serotip tertentu tidak melindungi ternakan dari dijangkiti oleh serotip virus yang lain. Di Malaysia, terdapat virus FMD serotip O, A dan ASIA 1. Tempoh pengeraman virus FMD ialah 14 hari. Tanda klinikal penyakit termasuklah tempang, air liur meleleh, pengeluaran susu berkurangan dengan drastik, luka di celah kuku, vesikel pada permukaan lidah, gusi, bibir, mulut dan puting susu. Jika vesikel pecah, ia akan menjadi luka atau ulser. Pada tahap ini, lelehan air liur yang pekat dan berbuih akan kelihatan dengan banyak di mulut dan hidung. Pada masa yang sama vesikel juga boleh terbentuk di kaki dan mengakibatkan ulser. Ternakan akan menjadi tempang atau terenjut-enjut walaupun ulser di kaki telah sembuh. Lesi selalunya terdapat di bahagian celah-celah/ sirat-sirat kuku. Lesi yang sama akan terdapat pada rabung dan puting susu yang boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada puting susu. Lembu tenusu akan mengalami produksi susu yang rendah secara tiba-tiba, kelesuan, kekurangan selera makan dan demam. Jangkitan FMD

Pada bebiri, kambing dan babi akan menyebabkan tempang secara tiba-tiba atau tidak boleh bangun kerana ulser yang terbentuk pada kaki. Kuku ternakan boleh terkeluar jika inieksinya amat teruk. Kematian boleh berlaku akibat serangan jantung dalam anak tanpa sebarang tanda klinikal.

Pada ternakan babi, penyakit ini akan menyebabkan lesi di hidung, lidah dan puting susu. Babi yang dipelihara atas konkrit mungkin akan tertanggal kukunya. Kerosakan kekal mungkin akan terdapat pada puting susu dan penyusutan berat badan akan mengambil masa yang lama untuk kembali normal. Keguguran dan kemandulan juga boleh berlaku semasa inieksi. FMD boleh merebak dengan sangat cepat secara langsung atau tidak langsung. FMD merebak dari satu tempat ke tempat yang lain kerana pemindahan ternakan yang telah dijangkiti oleh virus, sama ada ternakan yang telah atau belum menunjukkan tanda klinikal atau telah sembuh tetapi menjadi pembawa virus, atau subklinikal; kenderaan, pakaian, kasut dan peralatan yang dicemari oleh virus dan produk ternakan dari ternakan yang terjangkit. Kejadian FMD boleh menyebabkan kerugian ekonomi kepada penternak kerana ternakan akan menjadi kurus dan merosot produktivitinya, pengeluaran susu berkurangan, induk bunting akan keguguran, banyak anak yang terjangkit akan mati dan peluang eksport terjejas. Pengeluaran susu dan berat badan ternakan tidak akan mencapai tahap optimum seperti sediakala


PENYAKIT KUKU DAN MULUT (FMD)

PENYAKIT KUKU DAN MULUT (FMD)









Oldest